KUALA LUMPUR: Kira-kira 850,000 rakyat berbelanja lebih 50 juta ringgit pada hari pertama pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) setakat 9.30 malam ini.
Kementerian Kewangan memaklumkan sistem mengalami transaksi mendadak berikutan sambutan tinggi daripada penerima Penghargaan SARA.
Situasi berkenaan menyebabkan sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih mengalami penurunan prestasi yang ketara di beberapa lokasi.
Kementerian itu memaklumkan walaupun sistem beroperasi dengan lebih perlahan, namun transaksi masih diterima dan diproses.
MOF dan MyKasih telah mengambil langkah untuk meningkatkan kapasiti sistem supaya pada esok (1 September 2025), rakyat dapat terus membuat pembelian melalui SARA dengan lancar tanpa gangguan.
Bagi memastikan sistem kembali stabil dan bersedia untuk rakyat meneruskan perbelanjaan melalui SARA pada 1 September 2025, pihak MyKasih akan melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem pada malam ini.
Kementerian itu turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para pengguna dan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini agar berjalan lancar.
Bilangan transaksi pada hari ini adalah jauh lebih tinggi daripada pengalaman sebelum ini iaitu sehingga 30 Ogos 2025, pelaksanaan bulanan SARA telah dapat mengendalikan purata transaksi harian sekitar 600,000 transaksi sehari.
MOF juga ingin mengingatkan kredit 100 ringgit sekali bayar Penghargaan SARA ini kekal sah sehingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
Penghargaan SARA 100 ringgit ialah bantuan tunai sekali bayar diberikan kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang dikreditkan ke dalam MyKad. – Bernama