10 maut, 50 cedera gempa bumi landa timur Afghanistan

ISTANBUL: Sepuluh orang maut manakala 50 lagi cedera dalam perkembangan terbaharu gempa bumi yang melanda timur Afghanistan lewat Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik perkhidmatan Pashto BBC.

Wilayah Kunar merupakan kawasan paling terjejas dengan korban disahkan pihak berkuasa tempatan.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa berukuran 6.0 pada skala Richter berlaku pada 11.47 malam waktu tempatan (1917GMT), 27 kilometer timur laut Jalalabad pada kedalaman lapan kilometer.

Direktorat Kesihatan Awam Nangarhar melaporkan mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital wilayah.

Jurucakap pentadbiran sementara Afghanistan, Zabihullah Mujahid mengesahkan gempa bumi itu menyebabkan korban jiwa.

“Dukacita dimaklumkan, gempa bumi malam ini telah mengakibatkan kematian dan kerosakan harta benda di beberapa wilayah timur,” tulis beliau di platform media sosial X.

Mujahid berkata pegawai tempatan dan penduduk sedang menjalankan operasi menyelamat, manakala pasukan bantuan dari wilayah pusat dan berdekatan telah digerakkan ke kawasan terjejas.

“Segala sumber yang ada akan digunakan untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

USGS turut melaporkan sekurang-kurangnya dua lagi gegaran susulan, masing-masing berukuran 5.2 pada skala Richter melanda kawasan sama selepas gempa bumi pertama – BERNAMA-ANADOLU

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *