PUTRAJAYA: Keberanian Left Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Firdaus Arbaain yang pernah menyelamatkan empat nyawa dalam tragedi bot terbalik di Teluk Batik, Perak pada 2023, mendapat pengiktirafan apabila diberi penghormatan mengetuai lafaz Ikrar Rukun Negara pada sambutan Hari Kebangsaan 2025 hari ini.
Pegawai Laksana Kapal Diraja Sri Indera Sakti itu menyifatkan peluang berkenaan sebagai penghormatan besar, lebih-lebih lagi memimpin lafaz ikrar di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta disaksikan jutaan rakyat, selain menjadi anggota TLDM pertama dipilih mengetuai bacaan itu.
“Sebagai seorang bapa, saya mahu memberi contoh terbaik kepada anak-anak supaya mereka dapat menyimpan kenangan ini sepanjang hidup mereka,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu kepada Bernama.
Mohd Firdaus berkata penglibatannya dalam sambutan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya tanggungjawab mewakili suara rakyat Malaysia melafazkan ikrar yang melambangkan semangat cintakan tanah air.
Menyentuh mengenai persediaan, beliau berkata tumpuan diberikan kepada kekuatan jasmani, emosi dan rohani termasuk mengulang kaji teks, melatih intonasi serta membuat latihan bersama anak-anak di rumah.
Mohd Firdaus turut merujuk rakaman bacaan ikrar terdahulu dan mendengar semula rakaman berkenaan ketika memandu bagi memantapkan intonasi serta penghayatan, selain berlatih bersama pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang mengingatkannya kepada permulaan kerjayanya 25 tahun lepas.
Beliau berkata penghormatan itu juga simbolik kepada pengorbanan seluruh pasukan keselamatan serta rakyat Malaysia yang bersatu padu, selain satu peringatan mengenai nikmat keamanan dan kesejahteraan tanah air tercinta.
“Sepanjang berkhidmat, saya pernah ditugaskan ke negara-negara konflik seperti Timor-Leste (2004), Somalia (2008 dan 2012) serta Lubnan (2010). Apabila dibandingkan dengan keadaan di Malaysia, saya bersyukur kerana sejak lahir hingga kini dapat hidup dalam suasana aman. Saya berharap keamanan ini berkekalan selamanya,” katanya.
Mengulas prinsip Rukun Negara, beliau berkata nilai seperti Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan serta Kesopanan dan Kesusilaan selari dengan semangat ketenteraan yang menekankan disiplin serta kepatuhan penuh kepada undang-undang, khususnya Akta Angkatan Tentera 1972.
Mohd Firdaus menerima Bintang Jasa Perkasa Persekutuan pada 2 Jun lepas sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pengiktirafan itu atas keberanian menyelamatkan mangsa dalam insiden bot terbalik di Pantai Teluk Batik apabila beliau berenang sejauh 40 meter seorang diri dan menyelamatkan empat daripada 15 penumpang termasuk dua kanak-kanak, selain memeriksa bahagian sekeliling serta bawah bot bagi memastikan tiada mangsa tertinggal- BERNAMA