Pemandu lori tangki direman tiga hari kes kemalangan maut jurutera elektrik

KUALA LUMPUR: Pemandu lori tangki yang terbabit dalam kemalangan maut melibatkan seorang jurutera elektrik di Kilometer 292.8 Lebuhraya PLUS direman tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di kawasan Kajang semalam.

Siasatan awal mendapati pemandu dipercayai terlelap sebelum kenderaan dipandunya memasuki lorong kecemasan lalu menghimpit motosikal mangsa.

Seorang jurutera elektrik berusia 39 tahun maut selepas motosikal ditungganginya dihimpit lori tangki dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori terbabit negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tular satu rakaman video kamera papan pemuka berdurasi lebih 33 saat yang memaparkan motosikal berada di lorong kecemasan sebelum dihimpit lori tangki.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *