TUMPAT: Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil langkah proaktif menangani isu kekurangan bekalan ikan dengan memperkukuh sektor hiliran termasuk membuka kilang pemprosesan isi ikan.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata usaha itu penting bagi memastikan keperluan produk berasaskan ikan seperti keropok dapat dipenuhi selaras dengan peningkatan permintaan, khususnya daripada sektor pelancongan dan makanan.
Beliau menjelaskan bekalan ikan mentah sebenarnya mencukupi, namun isu timbul apabila kapasiti pengeluaran isi ikan masih terhad kerana kilang pemprosesan tidak banyak.
Sebagai usaha awal, LKIM telah menubuhkan kilang pemprosesan isi ikan di Besut bagi menambah kapasiti pengeluaran.
Beliau mengulas laporan media mengenai kekurangan bekalan ikan tamban sejak dua tahun lepas yang menghimpit pengusaha keropok keping tradisional di Terengganu akibat ketiadaan bahan mentah.
Selain kilang sedia ada, LKIM turut menggalakkan penglibatan persatuan nelayan di seluruh negara dalam perniagaan hiliran dengan menyediakan bantuan peralatan, dana serta latihan kemahiran.
Muhammad Faiz menegaskan perniagaan ini tidak memerlukan modal besar, hanya kesungguhan, dengan nelayan bukan sahaja boleh menjana pendapatan melalui jualan ikan segar, malah dengan menghasilkan produk hiliran seperti keropok, sotong gula dan makanan laut lain.
LKIM juga melaksanakan agenda ‘Satu Persatuan Nelayan, Satu Perniagaan’ bagi mengukuhkan peranan persatuan dalam menjana pendapatan sekali gus memastikan bekalan produk ikan sentiasa terjamin.
Beliau berkata sektor makanan perlu dipandang serius kerana ia keperluan asas dan jika tidak dibangunkan oleh rakyat tempatan, ruang itu akan diisi pihak luar sekali gus membuka peluang kepada bentuk penjajahan ekonomi baharu.
Mengulas mengenai pendapatan nelayan pada musim tengkujuh, Muhammad Faiz berkata LKIM menyalurkan Elaun Sara Hidup sebanyak 300 ringgit sebulan kepada lebih 36,000 nelayan di seluruh negara, selain menyediakan fasiliti seperti kompleks perikanan bagi menyokong aktiviti ekonomi mereka.
Beliau menambah nelayan boleh memanfaatkan hasil laut secara lebih kreatif termasuk menghasilkan isi ikan sejuk beku, keropok, makanan laut kering mahupun kraf tangan berasaskan siput. – Bernama