PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya disifatkan oleh kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai berjaya dan luar biasa.
Ahmad Zahid mengucapkan selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia dan memuji penganjuran kali ini yang menurutnya amat menarik.
“Semoga penyatuan seluruh rakyat Malaysia akan (terus) tercapai dan kita ketepikan perbezaan dalam kalangan kita,” katanya.
Fadillah yang turut senada, memuji setiap persembahan dipamerkan semua pihak yang terlibat menjayakan sambutan kali ini.
“Persembahan yang begitu baik mengangkat semangat (bersama). Yang penting ialah untuk memastikan negara Malaysia terus bersatu, mencipta kemakmuran untuk kesejahteraan rakyat semua,” katanya.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan yang bermula secara rasmi pada pukul 8 pagi itu dihadiri lebih 100,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan umur.
Sambutan itu turut menarik kehadiran pelancong asing yang turut memeriahkan majlis tersebut.
Sebanyak 81 kontinjen melibatkan 14,062 peserta mengambil bahagian dalam perarakan dan perbarisan Hari Kebangsaan 2025.
Perbarisan turut menampilkan 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset darat dan udara, serta 116 ekor haiwan dalam perkhidmatan awam. – Bernama