Cadangan masukkan Quran Hour dalam kalender pelancongan dibawa ke kabinet

KUALA LUMPUR: Cadangan menjadikan program #QuranHour sebagai sebahagian daripada pengisian kalendar pelancongan negara akan dibawa kepada perhatian Kabinet.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan cadangan itu sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam mengembangkan sektor pelancongan berunsur keagamaan.

“Alhamdulillah, Quran Hour ini telah memasuki edisi yang ke-11 dan pihak penganjur telah mencadangkan supaya program ini dimasukkan dalam kalendar pelancongan atau lawatan tahunan ke negara ini,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malaysia #QuranHour 2025 dengan tema “Merdeka Dengan Rasa” di Masjid Negara.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) yakin tiada halangan besar untuk menjayakan hasrat berkenaan.

“Langkah ini ialah sebahagian daripada pelancongan Islamik yang akan kita promosikan bersama beberapa acara lain bersempena dengan Maulidur Rasul dan peristiwa Islam penting di negara ini,“ katanya.

Mengulas mengenai tema acara itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa kemerdekaan ialah milik bersama tanpa mengira latar belakang politik, budaya, bangsa atau agama.

“Kemerdekaan adalah untuk seluruh rakyat Malaysia, kita tidak harus melayani perbezaan warna politik, budaya, bangsa atau agama untuk kita tidak bersetuju merayakan kemerdekaan dan kita tahu bahawa Hari Malaysia disambut untuk kali yang ke-62 dan kemerdekaan kali ke-68,” katanya.

Acara yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Imam Masjid Negara Ustaz Hassan Al-Fadhli Abdul Rahman. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *