PARIS: Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani berjaya mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis.
Pasangan negara itu menewaskan gandingan Amerika Syarikat Chen Zhi Yi-Presley Smith dalam perlawanan pusingan kedua kejohanan tersebut.
Bagaimanapun mereka terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan pasangan ranking ke-30 dunia itu dengan keputusan 19-21, 21-10, 21-17.
Perlawanan yang berlangsung di Adidas Arena itu mengambil masa selama 51 minit untuk diselesaikan.
Pasangan pilihan ketiga kejohanan itu akan berdepan dengan beregu Taiwan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan pada perlawanan seterusnya.
Bekas juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengesahkan tempat ke pusingan ketiga selepas menewaskan beregu Scotland Christopher Grimley-Matthew Grimley.
Mereka berjaya mengetepikan cabaran pasangan Scotland itu dengan keputusan mudah 21-15, 21-16.
Aaron-Wooi Yik akan bertemu rakan senegara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang juga mara ke pusingan ketiga.
Wan Arif-Roy King terlebih dahulu menewaskan wakil Thailand Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-13, 21-17.
Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mara ke pusingan ketiga selepas menewaskan gandingan India Rohan Kapoor-Gadde Ruthvika Shivani.
Mereka berjaya mencatat kemenangan mudah 21-16, 21-11 dalam perlawanan tersebut- Bernama