Selangor lancar SIBS 2025 perkukuh kerjasama ASEAN dan ekonomi

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor melancarkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 dengan menekankan tumpuan yang lebih kukuh terhadap kerjasama serantau, ketahanan ekonomi dan pertumbuhan terangkum.

Sidang kemuncak selama empat hari itu akan berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sejak penubuhannya, SIBS membuktikan ia sebagai satu daripada platform terkemuka di rantau ini bagi perdagangan, pelaburan dan inovasi sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pintu masuk ke pasaran Asia Tenggara.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata penekanan baharu sidang kemuncak ini dilakukan pada waktu ketidaktentuan global yang semakin memuncak.

Beliau berkata, dalam mendepani ketidaktentuan global, perpaduan ASEAN merupakan perkara lebih penting berbanding sebelum ini.

“Kita sedang beroperasi dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu,” kata Amirudin.

“Ini menjadikan kerjasama antara ekonomi-ekonomi ASEAN lebih penting iaitu bersatu, berpandangan ke hadapan dan berdaya tahan,” kata Amirudin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han.

Amirudin berkata Selangor komited untuk memainkan peranan utama dalam memperkukuh kerjasama serantau, bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi juga dalam kerjasama perniagaan ke perniagaan.

Beliau juga menegaskan kesediaan Selangor untuk berperanan sebagai pemacu diplomasi ekonomi di peringkat subnasional dengan merujuk kepada lokasi strategik negeri, infrastruktur moden dan ekonomi yang pelbagai sebagai kekuatan utama untuk mengeratkan hubungan antara wilayah, negeri dan bandar di seluruh ASEAN.

“Kami menggalakkan para pemimpin perniagaan, agensi kerajaan dan ahli akademik untuk mengambil bahagian dalam SIBS sama ada sebagai pempamer, pengunjung perdagangan atau delegasi,” kata Amirudin.

“Ia merupakan peluang bukan sahaja untuk menjalin rangkaian tetapi juga untuk membantu membentuk hala tuju masa depan ekonomi rantau ini,” kata Amirudin.

Invest Selangor dalam satu kenyataan berkata SIBS 2025 akan mempamerkan enam komponen utama di bawah satu bumbung iaitu Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor; Ekspo Taman Pelaburan dan Perindustrian Selangor serta Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.

Komponen lain termasuk Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor; Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor serta acara yang baru diperkenalkan iaitu Sidang Kemuncak Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor.

Ng Sze Han sebelum ini menjangkakan SIBS 2025 menarik 50,000 pengunjung selain menampilkan lebih daripada 700 gerai pameran sekali gus mengukuhkan lagi reputasinya sebagai sidang kemuncak perniagaan dan perdagangan terkemuka di Asia Tenggara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *