KUALA LUMPUR: Saksi utama dalam kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau berkhidmat untuk bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu bagi memastikan semua urusan berhubung penubuhan syarikat dan pembukaan akaun bank dapat dilaksanakan.
Ahli perniagaan Datuk Seri G. Gnanaraja yang berusia 44 tahun berkata demikian semasa disoal peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim pada perbicaraan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
“Bagi saya ketika itu, saya sedang berkhidmat untuk Ketua Menteri (Lim). Jadi saya perlu laksanakan untuk beliau,“ kata Gnanaraja ketika menjawab soalan mengapa beliau membenarkan syarikat Bumi Muhibah Capital Sdn Bhd miliknya digunakan untuk melakukan kesalahan.
Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata beliau hanya bertemu Lim sebanyak dua kali pada 2017 dan Lim memintanya menubuhkan sebuah syarikat dan membuka akaun bank untuk menerima bayaran berhubung projek tersebut.
Sementara itu, Gnanaraja tidak bersetuju dengan Ramkarpal bahawa syarikat Bumi Muhibah ditubuhkan untuk penipuan.
“Saya tidak menipu,“ tegas Gnanaraja ketika ditanya mengenai percanggahan tarikh penubuhan syarikat pada 2016 dengan permintaan Lim untuk membuka akaun bank pada 20 Ogos 2017.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima 3.3 juta ringgit dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan projek bernilai kira-kira 6.341 bilion ringgit antara Januari 2011 dan Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama di Hotel The Gardens pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai 208.8 juta ringgit dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung pada 14 Oktober depan. – Bernama