RUU Perolehan Kerajaan 2025 tingkat ketelusan urus tadbir perbelanjaan negara

IPOH: Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini merupakan usaha kerajaan memastikan perbelanjaan negara diurus dengan lebih baik.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim menyatakan RUU ini akan menghadkan hutang negara kepada 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Ini pun satu lagi langkah reformasi untuk kita pastikan sebarang urusan yang melibatkan perolehan kerajaan itu, dilaksanakan mengikut undang-undang secara lebih ketat bagi mengelakkan ketirisan, kebocoran dan juga masalah rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bakti Muda Jiwa Merdeka di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah.

Muhammad Kamil menekankan RUU berkenaan bertujuan memastikan proses perolehan dilaksanakan melalui pelbagai proses yang lebih telus dan menyeluruh.

Kerajaan turut memperkenalkan Tribunal Rayuan Perolehan Kerajaan bagi menerima dan membicarakan aduan yang diterima daripada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati.

“Cuma orang yang takut ataupun penyamun sahaja tak suka akta ni sebenarnya, kaki songlap sahaja tak suka, kerana dia dah tak boleh nak buat perangai,” tambahnya.

Dewan Rakyat meluluskan RUU Perolehan Kerajaan 2025 menerusi undi belah bahagian dengan 125 Ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju.

RUU ini memperuntukkan kewajipan, tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan dalam perolehan kerajaan untuk mengukuhkan pengurusan kewangan negara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *