KUALA LUMPUR: Program Pelepasan Nyamuk Aedes BerWolbachia (WMO) Kementerian Kesihatan menunjukkan hasil memberangsangkan dalam membendung penularan kes denggi di negara ini.
Data awal menunjukkan penurunan kes hingga 100 peratus di beberapa lokaliti terlibat selepas enam tahun pelaksanaan program.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata sebanyak 20 daripada 45 lokaliti pelepasan menunjukkan pengurangan kes antara 45 hingga 100 peratus.
Beliau menjelaskan bahawa 25 lokaliti lagi masih memerlukan tempoh pemantauan sekurang-kurangnya dua tahun sebelum penilaian selanjutnya.
“Penyelidikan berkaitan wolbachia telah dimulakan sejak 2017 dan seterusnya dioperasikan secara rasmi bermula pada 2019.”
“Hingga kini, sebanyak 60 lokaliti telah dilibatkan dalam pelepasan nyamuk aedes berWolbachia merangkumi 15 lokaliti kajian dan 45 lokaliti lagi adalah di bawah pengoperasian pelepasan nyamuk aedes berWolbachia.”
“Analisis data pelepasan di lokaliti kajian menunjukkan bahawa intervensi pelepasan berWolbachia telah mencapai keberkesanan antara 60 hingga 80 peratus dalam mengurangkan insiden kes denggi di kawasan yang menerima pelepasan nyamuk berWolbachia.”
Kajian analisis kos keberkesanan WMO sedang dijalankan Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan di bawah Institut Kesihatan Negara dengan hasil kajian dijangka pada Mac 2026.
Lukanisman menjelaskan bahawa kajian itu hanya membandingkan kos keberkesanan WMO berbanding kawalan denggi sedia ada dan tidak melibatkan perbandingan dengan Program Imunisasi Kebangsaan yang menggunakan vaksin denggi.
“Memandangkan NIP menggunakan vaksin denggi masih belum dilaksanakan di Malaysia, perbandingan data keberkesanan kos pelaksanaan pengoperasian nyamuk aedes berWolbachia dengan vaksin denggi tidak dapat dilakukan.”
“Setakat ini, hanya Brazil telah memperkenalkan Qdenga dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak 2024.”
Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan vaksin Qdenga namun sedang mengkaji tahap keberkesanan dan kos penggunaan yang kini sekitar RM400 hingga RM450 setiap dos.
“Harga pasaran Qdenga di Malaysia ialah kira-kira RM400 hingga RM450, satu kos yang dianggap masih lagi tinggi untuk pelaksanaan berskala besar.”
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyarankan bahawa Qdenga hanya sesuai untuk dipertimbangkan di negara dengan kadar penularan denggi yang tinggi.”
Kos bagi seekor nyamuk WMO dianggarkan 35 sen bagi pakej pelepasan penuh dengan KKM sedang mengkaji kerjasama awam-swasta melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat. – Bernama