Polis kesan suspek rakam video tetamu inap desa di Manir

KUALA TERENGGANU: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai merakam video seorang wanita sedang mandi di sebuah inap desa di Manir di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang bekerja sebagai peniaga pada 12.09 tengah hari semalam.

Beliau berkata menurut laporan mangsa dan suaminya yang berasal dari Ampang, Selangor telah menyewa inap desa tersebut selama empat hari bermula 25 Ogos lepas untuk bercuti dan menjalankan penggambaran iklan baju Melayu.

“Ketika sedang mandi, mangsa yang berusia 35 tahun melihat kelibat seorang lelaki berusia 30-an di cermin tingkap sambil memegang telefon bimbit.

“Mangsa yang terkejut menjerit memanggil suaminya. Suami mangsa kemudiannya keluar mencari suspek dan melihat seorang lelaki berpakaian warna kelabu sedang melarikan diri dengan menaiki motosikal,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Azli berkata suami mangsa kemudian menghubungi pemilik inap desa tersebut untuk tindakan susulan.

Beliau berkata pihak polis mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di inap desa berkenaan tetapi tidak menghala ke lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *