MYJalan diperluas jadi pangkalan data nasional urus infrastruktur jalan

CYBERJAYA: Aplikasi MYJalan yang sebelum ini dikenali sebagai saluran aduan kerosakan jalan akan diperluas fungsinya menjadi satu pangkalan data nasional yang menyeluruh bagi pengurusan infrastruktur jalan di seluruh Malaysia.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu susulan cabaran utama pengurusan jalan ketika ini iaitu kekurangan data yang seragam dan holistik.

“Ia (peluasan aplikasi) adalah supaya (ada) satu pangkalan data yang penting untuk negara kita dalam pembangunan infrastruktur, untuk kita selaraskan penyelenggaran jalan kita di seluruh negara dan bukan sekadar itu, supaya kita boleh bertindak dengan lebih tepat dan efisien.

“Dengan data yang ada dan tersusun, barulah kemudian kita boleh merancang bagaimana kita memastikan jalan-jalan kita tak kira jalan siapa (di bawah seliaan agensi berbeza) pun, (agar) jalan di negara kita akan jadi lebih selamat dan selesa digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Seminar dan Sesi Libat Urus Data Jalan Program MYJalan 2025 di sini hari ini.

Sesi berkenaan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kementerian dan agensi Persekutuan, agensi kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil syarikat konsesi penyenggaraan bagi memperkukuh agenda reformasi pengurusan data jalan negara.

Nanta berkata sesi dialog itu turut menerima maklum balas positif kesemua wakil kerajaan negeri dan PBT yang hadir, dan beberapa siri libat urus tambahan akan diadakan untuk menghalusi pelaksanaan sistem itu sebelum dibawa ke Jemaah Menteri pada penghujung 2025.

Program MYJalan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Ogos 2023 itu, diiktiraf sebagai inisiatif penting Kerajaan MADANI untuk memastikan pengurusan jalan raya lebih selamat, sistematik dan inklusif.

Sementara itu, menurut kenyataan Kementerian Kerja Raya (KKR), sebanyak 40,938 aduan berkaitan jalan raya telah diterima di bawah Program MYJalan sehingga 31 Julai lepas, dengan 30.4% melibatkan jalan persekutuan manakala selebihnya 69.6% melibatkan jalan di bawah pentadbiran negeri dan pihak lain. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *