Malaysia sasar penyertaan tenaga kerja wanita 60% menjelang 2030

PETALING JAYA: Memperkasakan wanita tidak melemahkan institusi keluarga malah sebaliknya memperkukuh institusi itu, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Gender Outlook Forum 2025 hari ini.

“Keluarga yang mempunyai ibu berpendidikan, berdikari dari segi ekonomi dan lantang bersuara lebih berdaya tahan, stabil dan makmur,“ katanya dalam ucaptama pada forum itu.

Dr Wan Azizah menegaskan bahawa kesaksamaan gender bukan hanya isu wanita tetapi suatu visi masyarakat dan prinsip teras komuniti ASEAN.

“Kami bekerjasama untuk menangani cabaran bersama, daripada menggalakkan pemerkasaan ekonomi wanita kepada memerangi keganasan berasaskan jantina,“ kata Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini mengesahkan komitmen untuk meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus menjelang 2030 di bawah Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Negara 2025-2030.

Nancy dalam ucapannya berkata rangka kerja itu memberikan tumpuan kepada empat tonggak utama iaitu ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan, untuk menyokong wanita memasuki semula, kekal dan terus maju dalam dunia pekerjaan.

Beliau berkata antara inisiatif utama diperkenalkan adalah peluasan akses penjagaan kanak-kanak dengan kos berpatutan termasuk Taska di tempat kerja untuk membantu ibu yang bekerja.

Selain itu katanya turut dilaksanakan program Wanita Bangkit@KPWKM yang telah memperkasakan 9,400 wanita menerusi latihan keusahawanan, pemadanan pekerjaan dan geran perniagaan serta inisiatif Gig@BIT yang mempersiapkan wanita dengan kemahiran digital untuk berkembang maju dalam ekonomi dalam talian.

Inisiatif MamaCare pula telah melatih lebih 800 wanita sebagai penjaga ibu pantang profesional, menjadikan penjagaan selepas bersalin sebagai sumber pendapatan yang mampan, katanya.

Nancy turut menekankan langkah-langkah meningkatkan keselamatan wanita termasuk penguatkuasaan Akta Antigangguan Seksual, pengoperasian suatu tribunal berkaitan yang berdedikasi dan menjadikan perbuatan mengintai sebagai jenayah.

Beliau berkata kementerian juga telah memperkenalkan PERANTIS iaitu program kepimpinan bertujuan melatih wanita merentasi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pendidikan, undang-undang dan kesihatan.

“Dengan peruntukan lima juta ringgit pada 2025, program itu akan menghubungkan 100 mentor terkenal dengan 5,000 peserta di seluruh negara,“ kata Nancy.

Beliau berkata cabaran termasuk tuntutan menjaga anak atau keluarga selain aturan tempat kerja yang tidak fleksibel menjadi sebab utama mengapa wanita meninggalkan dunia pekerjaan.

Pada masa ini, kadar penyertaan tenaga buruh wanita Malaysia berada pada 55.8 peratus iaitu antara yang terendah dalam kalangan negara ASEAN.

Forum dua hari, bertemakan ‘Advancing Gender Equality in ASEAN’ anjuran Jawatankuasa Tetap Pemerkasaan Wanita dan Keluarga untuk mengukuhkan kerjasama serantau mengenai pemerkasaan wanita dan kesaksamaan gender, dihadiri hampir 200 peserta daripada agensi kerajaan, organisasi antarabangsa, masyarakat sivil, akademia dan sektor swasta. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *