Malaysia raih pelaburan BRICS RM8.54 bilion pada suku pertama 2025

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menarik keyakinan pelabur dari negara-negara BRICS dengan pelaburan diluluskan mencecah RM8.54 bilion bagi tempoh suku pertama 2025.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan data berdasarkan sumber muktamad menunjukkan pelaburan itu kebanyakannya disumbangkan oleh China, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Afrika Selatan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM8.23 bilion atau 96.37% merupakan pelaburan dalam sektor perkilangan manakala RM0.27 bilion atau 3.63% adalah pelaburan dalam sektor perkhidmatan,“ katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

Pelaburan diluluskan bagi tempoh Januari hingga Mac 2025 ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 3,990 dalam sektor perkilangan dan 2,837 bagi sektor perkhidmatan.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai jumlah sebenar pulangan pelaburan antarabangsa ke dalam negara selepas Malaysia menyertai blok BRICS pada awal 2025.

MITI juga menyifatkan pelaburan itu turut memperkukuh keyakinan pelabur terhadap Malaysia selain menunjukkan potensi besar dalam sektor strategik seperti teknologi hijau, ekonomi digital dan infrastruktur.

“Penyertaan Malaysia dalam BRICS turut memberi nilai tambah dari segi pengiktirafan terhadap peranan kita sebagai negara progresif dan berprinsip,“ katanya.

“Ini membuka pintu kepada pasaran baharu, memperkukuh interaksi dengan kuasa ekonomi utama di selatan global serta mengangkat pendirian Malaysia dalam memperjuangkan sistem kewangan dan perdagangan global lebih adil dan seimbang.”

MITI berkata walaupun data dibentangkan itu berasaskan sumber muktamad dan bukan sumber rasmi, ini tetap dilihat sebagai petanda positif bahawa status Malaysia sebagai negara rakan BRICS akan membawa manfaat ekonomi yang signifikan, khususnya dalam bentuk pelaburan baharu, penciptaan pekerjaan dan sokongan terhadap pertumbuhan jangka panjang.

Malaysia sebelum ini telah menjalin hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh dengan negara-negara anggota BRICS, khususnya China dan India, sebelum diterima secara rasmi sebagai negara rakan blok itu pada awal 2025. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *