Malaysia nilai teknologi tenaga dan pengurusan sisa dalam mesyuarat APEC

BUSAN: Malaysia telah menjalankan beberapa mesyuarat dua hala dengan anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM) APEC ke-15 di sini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pertemuan tersebut membuahkan hasil melalui pertukaran maklumat dan penerokaan kerjasama masa depan dalam pelbagai bidang tenaga.

“Kita juga bertemu dengan peserta industri dari Amerika Syarikat dan Korea Selatan yang menawarkan kepakaran dan teknologi masing-masing dalam nuklear serta menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dan menyokong Malaysia,“ katanya kepada pemberita di luar EMM APEC ke-15.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan perbincangan turut diadakan dengan New Zealand yang berkongsi kepakaran dalam tenaga geoterma.

“Kita perlu mengenal pasti teknologi terbaik, namun kita terbuka untuk bekerjasama dengan semua negara anggota APEC dan menentukan perkara yang sesuai untuk Malaysia bukan sahaja dari segi teknologi malah juga dalam pembangunan modal insan, kepakaran dan perspektif pembiayaan,“ katanya.

Mengenai tenaga nuklear, Fadillah berkata perbincangan turut menyentuh aspek pengurusan sisa yang menjadi isu penting bagi Malaysia.

“Kita bangkitkan isu sama ada pembekal teknologi sanggup mengambil semula sisa ketika membekalkan teknologi itu kepada kita. Bagi negara kecil seperti Malaysia, pengurusan sisa adalah isu yang besar,“ katanya.

Malaysia turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pihak termasuk Setiausaha Alam Sekitar dan Ekologi Hong Kong, China, Chin Wan Tse.

Pertemuan juga diadakan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Halbi Mohammad Yussof dan Menteri Perdagangan, Industri dan Ekonomi Korea Selatan, Jung-Kwan Kim.

Dalam mesyuarat dua hala itu perkara merangkumi isu sektor tenaga termasuk kerjasama dalam teknologi hidrogen, pembangunan tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik, pengukuhan sambungan serantau berdasarkan Grid Tenaga ASEAN, penukaran sisa kepada tenaga dan inisiatif kecekapan tenaga turut dibincangkan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *