KLANG: Lima warga tempatan telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 19 warga Myanmar di sebuah pangsapuri di Hulu Langat awal bulan ini.
Muhammad Azalmie Ahmad Razali, 25, Muhammad Irwan Syapawi Che Hamid, 34, Mazlan Derahman, 39, Hazif Yusof, 46, dan Mohamad Yusof Zulkipli, 29, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa dengan seorang individu lain yang masih bebas, dengan niat bersama menyeludup 19 warga Myanmar di sebuah pangsapuri di Hulu Langat pada 8 pagi, 5 Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh dan memohon kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Peguam Adam Haikal yang mewakili kelima-lima tertuduh itu bagaimanapun memohon mereka dibenarkan diikat jamin berikutan tiada risiko untuk melarikan diri dengan jumlah jaminan RM10,000 setiap seorang.
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua permohonan pihak pendakwaan.
Pada prosiding itu, pertuduhan sama terhadap empat warga Myanmar yang lain termasuk seorang wanita, berusia 34 hingga 55 tahun tidak dibacakan kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu.
Mohd Sabri kemudian menetapkan 9 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa Myanmar hadir ke mahkamah, selain tidak membenarkan ikat jamin terhadap kesemua tertuduh. – Bernama