Lelaki nyaris maut motosikal dihempap pokok tumbang di Kepala Batas

KEPALA BATAS: Seorang lelaki nyaris maut selepas motosikalnya dihempap pokok tumbang berhampiran Masjid Jamek Nurussaadah dekat Lahar Tabut Penaga awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.55 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat Kuala Muda ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba anggota mendapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggangi seorang lelaki berusia 43 tahun,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

John berkata anggota kemudian menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan sebelum mangsa dapat diselamatkan.

Mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ambulans Kementerian Kesihatan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Operasi penyelamatan ditamatkan pada 7.24 pagi selepas mangsa berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *