IPOH: Seramai 13,997 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah di Perak bagi tempoh Januari hingga 24 Ogos tahun ini.
Rampasan bahan terlarang bernilai kira-kira RM15.7 juta telah berjaya dirampas dalam operasi tersebut.
Timbalan Ketua Polis Perak SAC Mohammad Azlin Sadari menyatakan jumlah individu ditahan kerana mengedar dadah meningkat 11 peratus kepada 1,918 berbanding 1,727 bagi tempoh sama tahun lepas.
Sebanyak 51 individu ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 dengan kebanyakan mereka merupakan dalang sindiket yang telah ditumpaskan.
“Sebanyak 4,816 lagi individu diberkas kerana memiliki dadah manakala bakinya terlibat dengan tangkapan (ujian) urin sepanjang tempoh berkenaan,“ katanya.
Dadah jenis syabu, ketamin dan heroin merupakan rampasan yang tertinggi di negeri ini sepanjang tempoh berkenaan.
Keseluruhannya 4,827 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Racun 1952 dalam tempoh itu.
Daripada jumlah itu, 4,714 kes telah dituduh di mahkamah, iaitu pencapaian sebanyak 98 peratus.
Pelbagai barang kes dilupuskan melibatkan kesalahan dadah dan ketum bernilai RM26.12 juta.
Antara yang dilupuskan termasuk heroin seberat 4.49 kilogram, ganja 165kg, syabu 404kg, ketamin 46kg serta daun ketum berjumlah 651kg.
Kesemua eksibit adalah hasil daripada 5,483 kertas siasatan bagi kes yang telah selesai perbicaraan di mahkamah sejak 2012 hingga 2024. – Bernama