GEORGE TOWN: Indonesia dan Pulau Pinang bersetuju agar operasi permulaan laluan feri baharu dari Aceh ke Pulau Pinang hanya melibatkan feri penumpang dan kargo sahaja tanpa perkhidmatan roll-on roll-off (RORO) yang membawa kenderaan.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata ia berikutan kenderaan berdaftar asing memerlukan kelulusan lanjut daripada pihak berkuasa berkaitan.
Beliau memaklumkan kapal berkapasiti 200 orang dengan anggaran panjang 59 meter dicadangkan untuk feri penumpang manakala kapal kargo pula berkapasiti 100 tan bagi operasi laluan baharu tersebut.
Bagi tujuan pelaksanaan pula, Pelabuhan Pulau Pinang telah mengenal pasti fasiliti pelabuhan yang boleh digunakan untuk operasi laluan feri ini.
Kapal penumpang akan berlabuh di Terminal Swettenham Pier Cruise (SPCT) bagi menurunkan penumpang, seterusnya kapal kargo akan meneruskan operasi pemunggahan dan pemindahan kargo di Butterworth Deep Water Wharves (BDWW).
Perkara mengenai operasi permulaan itu dipersetujui Pelabuhan Pulau Pinang yang diwakili Penang Port Sdn. Bhd (PPSB) selaku operator pelabuhan yang dilantik dan kerajaan Acheh dalam perbincangan berkaitan tahap kesiapsiagaan Pelabuhan Pulau Pinang dalam menerima perkhidmatan feri dari Aceh.
SPPP menyambut baik cadangan perancangan laluan feri baharu itu dan melihat ia sebagai inisiatif yang baik dalam memperkukuh hubungan serantau khsusunya antara Malaysia dan Indonesia.
Laluan feri baharu tersebut berpotensi untuk meningkatkan hubungan pelabuhan, perdagangan, sektor pelancongan serta jaringan ekonomi antara Pulau Pinang dan Aceh.
Terdapat beberapa aspek lain yang perlu diteliti sebelum laluan itu dapat direalisasikan, antaranya mengenal pasti operator feri yang berkelayakan untuk menjalankan operasi, penetapan laluan permulaan sama ada dari Aceh atau Pulau Pinang serta penyusunan jadual perkhidmatan feri yang selaras dengan keperluan pengguna.
Dengan sokongan penuh dan kerjasama daripada PPSB serta pihak berkepentingan lain, SPPP komited untuk memastikan pelaksanaan laluan feri ini berjalan dengan teratur, mematuhi ketetapan perundangan yang berkaitan dan seterusnya memberikan manfaat kepada pembangunan ekonomi serantau. – Bernama