Kesedaran hadapi gempa bumi perlu ditingkatkan di Malaysia – ADUN

JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri Jementah Ng Kor Sim menyeru kerajaan memperkasakan usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai risiko gempa bumi berikutan gegaran baru-baru ini di Johor.

Beliau berkata walaupun Malaysia tidak terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, kejadian berkenaan menunjukkan bahawa pengetahuan orang ramai mengenai cara bertindak dalam detik-detik kritikal masih kurang dan memerlukan perhatian segera.

“Tragedi gempa bumi di Ranau, Sabah pada 2015 yang menyebabkan 18 kematian mendedahkan kesan kehilangan nyawa akibat kurangnya persediaan dan walaupun gegaran yang berlaku kurang kuat, keadaan sering menjadi kelam-kabut.

“Semasa gempa bumi bermagnitud 6.2 di Sumatera pada Februari 2022, rakyat Malaysia melaporkan gegaran dirasai di Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur menyebabkan ramai bertindak lari keluar dari bangunan atau menyebarkan khabar angin di media sosial.

Ng menekankan pentingnya melengkapkan komuniti dengan panduan mudah dan jelas seperti berlindung di bawah meja kukuh untuk mengurangkan panik dan kecederaan.

Beliau mencadangkan kerajaan menjadikan persediaan menghadapi gegaran sebagai sebahagian daripada budaya kesiapsiagaan negara.

“Sekolah, tempat kerja dan persatuan penduduk boleh memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran tentang gempa bumi serta memupuk amalan keselamatan yang mengukuhkan daya tahan masyarakat.

Ng turut menyeru audit keselamatan berkala terhadap bangunan tinggi dan kemudahan awam untuk memastikan ia mampu menahan gegaran kecil.

“Audit ini bukan menunjukkan Malaysia menghadapi bahaya yang mendesak, tetapi lebih kepada menunjukkan kesiapsiagaan adalah sebahagian daripada tadbir urus yang bertanggungjawab.

Beliau mencadangkan latihan kecemasan berkala di peringkat komuniti dan saluran komunikasi yang jelas semasa kecemasan untuk memastikan maklumat tepat sampai kepada orang ramai.

“Dengan memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan, kita bukan sahaja melindungi nyawa, malah membina keyakinan dalam keupayaan kita menghadapi cabaran masa depan secara bersama.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan dua gegaran lemah direkodkan pada 24 Ogos iaitu bermagnitud 4.1 di Segamat dan 2.8 di Yong Peng.

MetMalaysia turut mengesahkan gegaran bermagnitud 3.2 berlaku di Segamat semalam dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan Johor dan selatan Pahang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *