PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia menahan 65 individu termasuk wanita warga asing dalam serbuan di sebuah pusat hiburan dan karaoke tiga tingkat di Puchong, Selangor.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata 16 daripadanya merupakan lelaki warga Myanmar yang bekerja sebagai pelayan bar manakala selebihnya adalah wanita warga asing terdiri daripada rakyat Thailand (18), Vietnam (17), Laos (enam), Indonesia (dua) dan Filipina (empat), berusia antara 20 hingga 55 tahun.
“Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai penjaga premis serta seorang wanita tempatan yang dipercayai penjaga kepada wanita warga asing berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata operasi kira-kira 9.15 malam itu dijalankan hasil risikan Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya dengan kekuatan 25 pegawai pelbagai pangkat.
“Keseluruhannya, sebanyak 187 individu diperiksa terdiri daripada 16 lelaki dan 47 wanita warga asing serta 102 lelaki dan 22 wanita tempatan,” katanya.
Beliau berkata modus operandi pusat hiburan itu yang beroperasi setiap hari dari 7 malam hingga 3 pagi ialah menyajikan wanita warga asing sebagai ‘peneman’ pelanggan dengan bayaran antara RM150 hingga RM300 bagi tempoh tiga jam pertama.
Zakaria berkata antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk penyalahgunaan pas lawatan dan ketiadaan dokumen perjalanan sah, manakala pemilik premis berdepan tindakan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang tanpa izin.
Sementara itu, beliau berkata dalam operasi berasingan pada 2.35 petang hari yang sama, pihaknya turut menahan 36 lelaki warga Bangladesh berusia antara 35 hingga 50 tahun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dalam serbuan di sebuah kilang kitar semula di kawasan perindustrian Shah Alam.
“Operasi hasil aduan awam dan risikan selama dua minggu itu turut memeriksa 53 individu termasuk tiga rakyat tempatan serta seorang lelaki warga Bangladesh yang memiliki pas Malaysia My Second Home (MM2H) yang sah tetapi didapati berada dalam keadaan mencurigakan,” katanya.
Zakaria berkata kesemua tahanan warga asing dibawa ke Depot Imigresen KLIA dan Depot Tahanan Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut, manakala JIM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, menyalah guna pas atau mana-mana pihak yang menggaji serta melindungi pendatang tanpa izin. – Bernama