SEPANG: Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan insiden gangguan elektrik selama 20 minit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) sebagai tidak boleh diterima sama sekali kerana menjejaskan imej negara.
Kejadian itu berlaku ketika beliau menghadiri majlis pelancaran “Tap, Travel and Discover” anjuran gateway@klia2 di terminal berkenaan.
Loke menjelaskan bahawa dalam sektor pengangkutan awam, sebarang gangguan teknikal melebihi 15 minit dikategorikan sebagai gangguan besar, apatah lagi berlaku di pintu masuk utama negara.
“Seperti biasa, saya hadir (majlis) 15 minit lebih awal. Saya tiba di KLIA2 pukul 2.10 petang, program sepatutnya bermula tetapi tertangguh sehingga 2.35 petang. Saya dapati berlaku gangguan elektrik hampir 20 minit.
“Apa yang berlaku ini tidak boleh diterima sama sekali,“ katanya.
Gangguan tersebut menyebabkan banyak sistem tidak berfungsi, termasuk terminal gelap dan eskalator terhenti, walaupun papan maklumat masih beroperasi.
“Perkara seperti ini memberi imej sangat buruk kepada negara. Sepatutnya sistem sokongan berfungsi, tetapi mengapa ia tidak aktif? Ini mesti dijawab,“ katanya.
Loke mengarahkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan gateway@klia2 menyediakan laporan penuh dalam tempoh 24 jam mengenai punca insiden berkenaan.
“Saya tidak mahu mendengar alasan atau tuding-menuding. Saya mahu penyelesaian segera dan jaminan perkara ini tidak berulang,“ tegasnya.
Gangguan elektrik itu turut menyebabkan kesesakan di kawasan eskalator selain menjejaskan urusan jual beli di premis perniagaan. – Bernama