Datuk Bandar KL ambil positif dapatan PAC untuk tutup jurang tadbir urus

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif mengambil positif dapatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pembangunan tanah di ibu negara bagi menutup jurang tadbir urus serta menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas dalam urusan pemindahan dan pembangunan tanah.

Maimunah berkata laporan setebal 658 muka surat itu membangkitkan 11 isu yang berlaku sebelum beliau memegang jawatan Datuk Bandar setahun lepas, dan ia wajar dijadikan asas kepada reformasi tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata pelaksanaan reformasi tadbir urus itu juga merupakan sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepadanya.

“Saya telah diminta melakukan reformasi tadbir urus DBKL dan ini KPI yang diberikan Perdana Menteri kepada saya,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk “4P Pemacu Pembangunan Kuala Lumpur”, di sini malam tadi.

Beliau menambah “Laporan ini boleh membantu saya, di manakah kekurangan dan saya tidak perlu buat analisis kerana PAC telah pun melakukannya.”

Maimunah berkata dapatan PAC akan dijadikan rujukan dalam membangunkan SOP yang lebih kukuh agar DBKL mempunyai sistem tadbir urus yang padu serta boleh diwarisi kepimpinan selepas ini.

“Saya hendak tinggalkan satu sistem yang padu supaya Datuk Bandar yang akan datang akan melihat kepada sistem itu dan insya-Allah, meneruskannya,” katanya.

Dalam pada itu, Maimunah berikrar untuk memperkukuh kawalan dalaman susulan laporan PAC yang menegur DBKL berhubung isu pemindahan tanah.

Beliau berkata DBKL mula meneliti semua isu yang dibangkitkan, dengan kronologi terperinci sedang disediakan bagi mengenal pasti kelemahan serta ruang untuk penambahbaikan, termasuk langkah memperkukuh tadbir urus agensi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada 26 Ogos dilapor mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan DBKL meneliti semua syor yang dikemukakan PAC. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *