Dadah bernilai RM2.34 juta dilupuskan polis Melaka

MELAKA: Polis Melaka melaksanakan pelupusan barang kes dadah bernilai 2.34 juta ringgit melibatkan 2,075 kertas siasatan yang telah selesai perbicaraan di mahkamah bagi tempoh 2007 hingga tahun ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata pelupusan kali pertama oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Melaka itu dijalankan dengan kerjasama syarikat berlesen yang mempunyai kepakaran serta peralatan khas dalam pelupusan bahan berjadual.

“Antara barang kes yang dilupuskan 87,659.48 gram dan 42,985.63 mililiter pelbagai jenis dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, serta 315,764.74 gram dan 1,037,488.58 mililiter bahan larangan di bawah Akta Racun 1952.

“Dadah jenis syabu merupakan jumlah paling banyak dilupuskan kali ini selain heroin, ganja, pil Erimin 5, ketamin, daun ketum dan beberapa jenis bahan terlarang lain,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Ayer Keroh.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata kesemua barang kes berkenaan telah dianalisis oleh Jabatan Kimia sebelum dilupuskan mengikut piawaian alam sekitar yang ditetapkan.

Beliau berkata usaha itu juga membuktikan komitmen berterusan polis dalam mengambil tindakan proaktif mengesan serta membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing.

“Orang ramai boleh menyalurkan aduan atau maklumat melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 dan kerjasama masyarakat amat dihargai demi menjayakan misi membanteras dadah serta mewujudkan persekitaran yang selamat,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *