Bekas banduan serik jadi orang suruhan along lepas dibebaskan

KLUANG: Seorang bekas banduan bertekad meninggalkan kegiatan jenayah selepas insaf menjadi “orang suruhan” sindiket along sejurus dibebaskan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI.

Dikenali sebagai Chiew, 42, dia sepatutnya menjalani hukuman di Penjara Kluang selama dua tahun setelah terlibat dalam 22 kes khianat dengan api di beberapa buah daerah termasuk Johor Bahru, Kulai dan Pontian namun dibebaskan lebih awal kerana berkelakuan baik.

“Saya bersyukur dibebaskan hari ini … kalau boleh saya tidak mahu jejak kaki lagi ke penjara,“ katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Wanita itu berkata detik yang paling mengguris hatinya ketika menjalani hukuman ialah terpaksa berpisah dengan ibu serta empat anaknya akibat terjebak dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen itu.

Dia bercadang menggunakan kemahiran jahitan yang dipelajari semasa di dalam penjara untuk menyara hidupnya selepas ini.

Seorang lagi bekas banduan, Azmi, 57, turut menzahirkan rasa syukur dibebaskan hari ini selepas menjalani hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan mencuri telefon bimbit.

“Sebelum ini, saya bekerja sambilan sebagai penterjemah secara dalam talian, namun terjebak dengan rakan-rakan melakukan jenayah untuk mendapatkan wang secara jalan pintas,“ katanya.

PBSL hari ini menyaksikan sebanyak 41 banduan dari Penjara Kluang dibebaskan terdiri daripada 35 lelaki dan enam wanita bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *