KUALA LUMPUR: Saksi utama dalam kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng mengesahkan penyerahan dua beg hitam berisi wang tunai RM2 juta.
Ahli perniagaan Datuk Seri G. Gnanaraja memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau sendiri menyerahkan wang tersebut kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Gnanaraja menerima dua beg masing-masing berisi RM1 juta daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli di Hotel Eastin Petaling Jaya pada 18 Ogos 2017.
“Saya telah menyimpan beg-beg itu di dalam bilik kerja saya sebelum menyerahkannya kepada Lim,“ katanya.
Saksi pendakwaan ke-37 itu menyatakan beg pertama diserahkan kepada Lim pada 20 Ogos 2017 semasa menghantar beliau ke Publika, Hartamas.
“Lim telah mengambil beg berkenaan dan selepas itu menepuk bahu Zarul Ahmad yang berada di tempat duduk pemandu.”
Gnanaraja percaya tindakan menepuk bahu tersebut merupakan tanda ucapan terima kasih atas pemberian beg berisi wang RM1 juta.
Beg kedua diserahkan pada 29 Ogos 2017 lebih kurang 2 hingga 3 pagi di kediaman Gnanaraja.
“Lim menyambut beg yang diserahkan oleh saya dengan menggunakan tangan kanan sambil tersenyum.”
Beliau menyaksikan Lim meletakkan beg tersebut di atas ribanya sebelum kereta tersebut beredar dari kediamannya.
Sebelum penyerahan beg tersebut, mereka telah membuat perbincangan sulit lebih kurang sejam mengenai projek terowong.
“Dalam pengetahuan saya, nilai projek terowong yang dianggarkan adalah berjumlah RM6.3 bilion.”
Gnanaraja mendakwa Lim meminta 10% daripada keuntungan projek bernilai RM6.3 bilion tersebut untuk dirinya sendiri.
“Lim juga ada menceritakan persetujuan Zarul Ahmad terhadap permintaannya berkenaan 10% daripada keuntungan projek itu.”
Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri untuk menerima RM3.3 juta bagi melantik syarikat Zarul Ahmad melaksanakan projek bernilai RM6,341,383,702.
Beliau juga didakwa meminta suapan 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikatnya dilantik.
Lim turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi akan disambung esok. – Bernama