Negeri Sembilan catat penurunan 900 penagih dadah tahun ini

SEREMBAN: Jumlah penagih dadah di Negeri Sembilan setakat ini menunjukkan penurunan 900 kes kepada 5,600 orang berbanding 6,500 orang direkodkan tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata penurunan itu sekali gus menjadikan negeri ini sebagai negeri kedua terendah mencatatkan jumlah penagih dadah di negara ini.

Beliau berkata pencapaian itu hasil pelaksanaan pelbagai pendekatan bersepadu antara Agensi Antidadah Kebangsaan bersama komuniti dan kepimpinan setempat.

“Banyak kawasan merah kini telah ‘dihijaukan’ dan kawasan hijau pula telah pun kita ‘kuningkan’ dan ini adalah hasil intervensi berterusan semua pihak,“ katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata kerajaan negeri akan menaik taraf kemudahan di Stadium Tuanku Abdul Rahman bagi keselesaan pengunjung.

Beliau berkata kerja membaik pulih akan dilakukan dalam masa terdekat ini bagi memastikan kemudahan asas seperti tempat duduk, tandas dan ruang solat dapat digunakan dengan baik.

“Majlis Bandaraya Seremban diarahkan untuk bersihkan tandas, tempat solat dan sediakan air secukupnya dalam tandas,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *