KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) meluluskan pembiayaan berjumlah RM122.65 juta kepada enam buah syarikat berasaskan teknologi yang melaksanakan projek peralihan tenaga di bawah Fasiliti Peralihan Tenaga Nasional (NETF).
MDV merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Pembiayaan itu merangkumi insentif bersasar sebanyak RM40.09 juta yang bertujuan mengurangkan kos pembiayaan dan meningkatkan daya tarikan projek menerusi mekanisme seperti rebat dan penambahbaikan kredit, tertakluk kepada penilaian MDV.
Daripada enam syarikat yang diluluskan, lima daripadanya memfokuskan kepada penyelesaian tenaga boleh baharu (TBB) termasuk solar dan biogas, manakala sebuah lagi syarikat terlibat dalam inisiatif kecekapan tenaga.
Menteri berkenaan Chang Lih Kang berkata sebagai agensi pembiayaan utama di bawah MOSTI, MDV berada dalam kedudukan strategik untuk menyalurkan pembiayaan berimpak tinggi bagi inisiatif peralihan tenaga yang signifikan.
“MOSTI akan terus memberikan sokongan strategik bagi memastikan pelaksanaan NETF berjalan lancar, selari dengan komitmen Kerajaan MADANI terhadap pembangunan mampan, kerjasama industri dan usaha menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam inovasi rendah karbon,” katanya.
Pengerusi MDV Wong Chen berkata agensi itu berhasrat memacu penggunaan TBB melalui penyaluran pembiayaan penting bagi projek peralihan tenaga, selain menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara.
“Fokus kami kekal kepada pencapaian hasil nyata yang sejajar dengan visi jangka panjang Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara untuk masa depan rendah karbon, serta menangani cabaran perubahan iklim yang mendesak,” katanya.
Secara keseluruhan, MDV menyasarkan untuk membiayai kira-kira 20 hingga 30 projek atau syarikat teknologi di bawah NETF, bergantung kepada jumlah pembiayaan bagi setiap projek.
Inisiatif ini dijangka bukan sahaja mampu mengurangkan pelepasan karbon secara signifikan, malah membuka peluang ekonomi baharu serta memacu pertumbuhan mampan negara. – Bernama