BUSAN: Malaysia dan Korea Selatan dijangka memeterai memorandum persefahaman untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga menjelang akhir 2025.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan MoU itu dijangka ditandatangani pada Oktober atau November sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
“Kita berharap dapat menandatangani MoU dengan Korea Selatan bagi meneroka kerjasama dalam teknologi tenaga bersih termasuk tenaga nuklear dan sebagainya.
“Ini akan merangkumi pembangunan modal insan, pemindahan teknologi serta aspek keselamatan, jaminan tenaga dan bidang berkaitan lain,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Doosan Enerbility di sini, Rabu.
Fadillah sedang menjalani lawatan kerja rasmi di Korea Selatan sehingga 29 Ogos sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC ke-15.
Menurut MATRADE, Malaysia merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Korea Selatan bagi tempoh Januari hingga Julai 2025.
Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai 15.69 billion dolar AS dengan eksport Korea Selatan ke Malaysia bernilai 6.91 billion dolar AS.
Eksport Malaysia ke Korea Selatan pula mencecah 8.77 billion dolar AS, meningkat 12.9% daripada tempoh sama 2024.
Jumlah perdagangan keseluruhan antara Malaysia dan Korea Selatan pada 2024 adalah 24.42 billion dolar AS. – Bernama