Malaysia dan Brunei perkukuh kerjasama pertahanan dan keselamatan

PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh kerjasama di bawah mekanisme pertahanan dan keselamatan yang diterajui ASEAN dalam menghadapi cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional.

Komitmen itu termasuk kerjasama melalui platform seperti Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC), Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus.

Kedua-dua pemimpin menyatakan kepuasan terhadap kerjasama pertahanan erat yang terus diperkukuh melalui pertukaran lawatan secara berkala, kursus latihan dan latihan ketenteraan bersama.

Mereka turut menghargai sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dalam mengekalkan keamanan serta kestabilan antarabangsa di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Kedua-dua pemimpin turut merakamkan penghargaan atas penyertaan berterusan pegawai kanan pertahanan dalam platform utama, termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) pada 20 hingga 24 Mei depan, selain program berkaitan pertahanan yang lain.

Mereka juga mengambil maklum kemajuan ketara yang dicapai dalam Mesyuarat Dua Hala Ke-4 antara Pusat Pengurusan Bencana Negara (NDMC) Brunei Darussalam dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Malaysia pada 18 hingga 21 Ogos di Bandar Seri Begawan.

Kedua-dua pemimpin mengalu-alukan perbincangan mengenai penubuhan Kumpulan Kerja Pengurusan Bencana (DMWG) di bawah MoU Kerjasama Pengurusan Bencana sebagai langkah penting untuk memperkukuh serta menyelaras kerjasama dua hala.

Brunei Darussalam turut menghargai sokongan Malaysia melalui Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang melaksanakan misi penilaian awal pada 9 hingga 13 Jun lalu di Bandar Seri Begawan.

Kedua-dua pemimpin bersama-sama mengiktiraf dapatan misi itu sebagai input penting dalam menyokong persediaan Brunei Darussalam untuk mendapatkan Pensijilan Klasifikasi Luar (IEC) daripada Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (INSARAG).

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut mengiktiraf penubuhan Jawatankuasa Bersama di bawah MoU Kerjasama dalam Bidang Kehakiman Syariah, yang merangkumi perkongsian penghakiman mahkamah, pertukaran penerbitan, penyelidikan bersama serta kolaborasi akademik dalam bidang undang-undang Syariah.

Mereka juga menantikan pembaharuan MoU Kerjasama dalam Bidang Pendidikan Tinggi, Teknikal dan Vokasional.

Kedua-dua pemimpin menghargai kolaborasi berterusan antara institusi pendidikan di Malaysia dan Brunei Darussalam, termasuk peluang biasiswa dalam pendidikan tinggi, pertukaran pelajar serta staf akademik, program mobiliti, dan usaha bersama memperkukuh latihan teknikal serta vokasional.

Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut menggalakkan agensi berkaitan di Brunei Darussalam untuk meneroka penempatan pelajar Brunei di syarikat multinasional (MNC) di Malaysia bagi meningkatkan kemahiran, kebolehpasaran dan peluang kerjaya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *