KUSKOP perkasa sosioekonomi masyarakat India selaras aspirasi RMK13

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memperkasakan sosioekonomi masyarakat India melalui pendekatan inklusif selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Timbalan Menterinya Datuk Seri R. Ramanan berkata strategi itu memastikan komuniti India terus berdaya saing dalam arus perdana ekonomi malah berupaya mempercepatkan mobiliti sosial.

“Program ini merangkumi penyediaan latihan dan bimbingan keusahawanan oleh INSKEN manakala pemberian geran disalurkan oleh MITRA kepada peserta yang memenuhi syarat kelayakan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri S.Vell Paari yang ingin mengetahui inisiatif kerajaan di bawah RMK13 bagi membantu usahawan mikro dan kecil komuniti India.

Ramanan berkata 450 peserta telah terpilih untuk menyertai Kursus Asas Keusahawanan dan Kursus Asas Pembangunan Produk dan Servis (KAKAPPS) di bawah MICEP.

“Peserta yang berjaya menyelesaikan tugasan ditetapkan akan menjalani sesi bimbingan intensif selama empat bulan melalui Program Bimbingan Bisnes INSKEN (IBC) bersama pakar industri yang dilantik berserta geran perniagaan berjumlah hingga RM20,000 seorang.

Beliau memberi jaminan penyertaan masyarakat India dalam pembangunan ekonomi negara mampu mempercepatkan mobiliti sosial dan merapatkan jurang pendapatan.

“Selain itu, penyediaan Studio TikTok Shop oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional untuk usahawan mengadakan penstriman langsung dengan teknologi terkini,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *