Kerajaan cadang RUU Perolehan 2025 perkukuh pengurusan fiskal negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan penggubalan Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan 2025 sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan akta ini bertujuan untuk menangani ketirisan dan mengoptimum sumber negara agar dapat terus memacu pembaharuan ekonomi.

Beliau menegaskan perolehan menerusi rundingan terus yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa penelitian hanya membazirkan wang rakyat dan memanfaatkan sekumpulan kecil golongan elit.

“Sejak tahun pertama (pentadbiran), saya telah memberhentikan amalan rundingan terus dan beralih kepada sistem perolehan tender bagi projek pembangunan biasa,” katanya ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU itu di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan sebilangan kelulusan lalu yang dibuat secara tergopoh-gapah telah dibatalkan dan ditender semula bagi memastikan projek cakna rakyat dilaksanakan dengan nilai faedah terbaik.

Beliau berkata usaha kerajaan adalah untuk menaikkan siling dan lantai iaitu menstruktur semula ekonomi supaya bernilai tinggi yang akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat.

“Kerajaan MADANI telah mencipta detik bersejarah apabila berani menggubal FRA yang mengandungi beberapa penanda aras tegas berkaitan pengurusan fiskal,” tambahnya.

Perdana Menteri menekankan kerajaan telah menggerakkan beberapa kerangka penting termasuk Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 untuk memperkukuh ekonomi.

Dalam merangka RUU berkenaan, kerajaan telah menjalankan penelitian rapi serta mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

“Ini bagi menyatakan hasrat kerajaan dan mendapatkan input balas bagi RUU Perolehan Kerajaan,” jelasnya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *