KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan akan membangunkan dasar atau garis panduan dan meneroka platform pemerdagangan kredit karbon biru sebagai langkah memperkasa ekonomi biru negara.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata usaha itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) dan Jabatan Perhutanan Negeri Sabah bagi memastikan pelaksanaan inisiatif tersebut mencapai matlamat yang ditetapkan.
Karbon biru merujuk kepada karbon yang diserap, disimpan dan dikekalkan oleh ekosistem pesisir pantai dan laut.
Inisiatif karbon biru pula ialah usaha untuk melindungi, memulihkan dan mengurus ekosistem pesisir pantai serta laut seperti hutan bakau atau paya laut secara mampan.
“Secara amnya, inisiatif ini membantu mitigasi perubahan iklim, melindungi pantai, memelihara biodiversiti marin serta memberi manfaat sosioekonomi kepada komuniti pesisir dan menjana pertumbuhan ekonomi melalui pasaran kredit karbon biru,“ katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian yang ingin tahu maksud inisiatif karbon biru dan jika Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan Sabah bagi menjayakan inisiatif ini.
Ekonomi biru di Sabah akan dimanfaatkan dengan memperkasakan sektor perikanan dan akuakultur, perkapalan dan pelabuhan serta pelancongan pantai dan maritim.
Potensi tenaga boleh baharu biru seperti penukaran tenaga haba lautan juga akan diterokai.
Hab ekonomi biru di Sabah akan dibangunkan bagi menyokong pertumbuhan industri strategik yang dikenal pasti.
Inisiatif karbon biru akan diteroka dengan memanfaatkan hutan paya bakau di Sabah yang meliputi 59 peratus daripada keseluruhan hutan paya bakau negara.
Kerajaan Persekutuan akan mempertingkat pertumbuhan ekonomi biru dengan memperkasakan industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR).
Usaha termasuk menarik pelaburan bagi memperkukuh perkapalan hijau dan pembekalan bahan api tempatan.
Sabah mempunyai potensi yang tinggi untuk memajukan industri SBSR.
Kerajaan Persekutuan bersedia untuk meneroka kerjasama dengan SSMJ bagi membangunkan hab ekonomi biru di Sabah, termasuk industri SBSR. – Bernama