Bekas CEO yayasan dan pengerusi NGO direman lima hari kes tuntutan palsu

PUTRAJAYA: Bekas ketua pegawai eksekutif sebuah yayasan milik institusi perbankan dan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan direman lima hari sehingga 31 Ogos kerana dipercayai terlibat dalam kes tuntutan palsu berjumlah lebih RM2.1 juta.

Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memaklumkan kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 50-an itu ditahan di ibu pejabat agensi antirasuah berkenaan sekitar 5 petang hingga 11.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek dipercayai telah bersubahat dengan memperaku dan mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan peruntukan kepada sebuah yayasan berjumlah lebih RM2.1 juta.

“Tuntutan itu melibatkan bantuan di bawah tabung pendidikan sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan sebagaimana dalam permohonan,“ menurut kenyataan itu.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, SPRM memaklumkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kedua-dua suspek direman selepas permohonan dibuat pagi tadi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *