PUTRAJAYA: Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pelaksanaan semula proses bedah siasat ke atas pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Teknologi Malaysia Syamsul Haris Shamsudin.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ATM akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berwajib sepanjang siasatan dijalankan bagi memastikan keadilan untuk Allahyarham dapat ditegakkan.
“Kementerian Pertahanan akan terus memantau perkembangan kes ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyempurnakan siasatan mengikut prinsip undang-undang yang berkuat kuasa,“ menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syamsul Haris yang berusia dua puluh dua tahun meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada dua puluh lapan Julai selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram, Johor.
Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Semenyih pada keesokan harinya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memerintahkan kubur Syamsul Haris digali semula selepas membenarkan permohonan ibunya Ummu Haiman Bee Daulatgun pada sembilan belas Ogos lepas.
Permohonan itu antara lain bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan dan mencadangkan agar prosiding inkues dimulakan bagi menyiasat punca kematian Allahyarham. – Bernama