Pegawai kanan PBT dan dua ahli perniagaan direman empat hari kes rasuah

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman tiga individu termasuk seorang pegawai kanan gred Jusa B yang berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan di ibu negara.

Perintah reman empat hari terhadap pegawai kanan PBT, seorang pemilik syarikat dan seorang pengarah syarikat itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an ditahan di pejabat PBT, pejabat SPRM Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang dari semalam hingga awal pagi tadi.

Mereka disyaki terlibat dalam aktiviti rasuah sejak tahun 2014.

Pemilik syarikat tersebut dipercayai membayar rasuah kepada pegawai berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di agensi terbabit.

SPRM telah menyita wang tunai lebih RM200,000 dalam operasi susulan tangkapan tersebut.

Empat peranti telekomunikasi dan dua unit kenderaan jenis Lexus RX500H serta Mini Cooper turut disita.

Beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton juga antara barang rampasan.

SPRM turut membekukan 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat melibatkan nilai lebih RM7 juta.

Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin mengesahkan penahanan berkenaan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *