Malaysia diunjur jadi negara tua menjelang 2048 dengan 14% warga emas

KUALA LUMPUR: Malaysia diunjur menjadi negara tua menjelang 2048 apabila peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas mencecah 14% daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan Malaysia secara rasmi telah menjadi negara menua pada 2021 apabila populasi berumur 65 tahun dan ke atas mencecah 7% daripada jumlah keseluruhan penduduk.

“Peningkatan jangka hayat dan kemerosotan kadar kesuburan menyebabkan jumlah penduduk umur muda antara 0 hingga 14 tahun akan terus berkurang sementara jumlah penduduk umur tua lebih daripada 65 tahun akan terus meningkat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk Malaysia pada 2025 adalah sebanyak 34.2 juta dan diunjurkan meningkat kepada 36.4 juta pada 2030 serta 38.3 juta menjelang 2035.

Kadar kesuburan juga diunjur terus berkurangan daripada 1.67 anak bagi setiap wanita berumur 15 hingga 49 tahun pada 2025 kepada 1.66 pada 2030 dan 1.6 pada 2035.

Kadar perkahwinan kasar menunjukkan trend penurunan, daripada 6.6 perkahwinan pada 2022 kepada 5.7 pada 2023.

Perubahan dalam trend perkahwinan ini dijangka memendekkan tempoh reproduktif dan seterusnya menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran.

Kerajaan telah membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 sebagai langkah proaktif mempersiapkan negara menghadapi status negara tua.

Rangka tindakan itu merangkumi perancangan dasar, rangka kerja dan pelan tindakan menyeluruh dalam bidang ekonomi, pekerjaan, pendidikan, perlindungan sosial, kesihatan dan penjagaan jangka masa panjang.

Fokus rangka tindakan turut diterjemahkan melalui pelbagai strategi dan inisiatif khusus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 untuk mempersiapkan Malaysia ke arah menjadi negara tua.

Kerajaan telah menetapkan empat strategi utama di bawah RMK13 bagi menguruskan cabaran menjadi negara tua termasuk penjagaan jangka panjang, pasaran buruh dan kemahiran pendidikan, fiskal dan perlindungan sosial serta simpanan persaraan.

Usaha untuk mengubah trend memerlukan pendekatan pelbagai dimensi dan kerjasama antara kementerian serta pihak berkepentingan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *