ALOR SETAR: Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memikat burung di Kampung Bukit Tok Chom, dekat Pendang.
Ketua Polis Daerah Pendang Supt Rodzi Abu Hassan berkata mayat Sahrulnizam Ramli, 53, ditemukan oleh orang awam dan polis menerima laporan berkaitan penemuan mayat itu pada 9.55 pagi.
Individu terbabit menyatakan telah menemukan mayat seorang lelaki yang dipercayai meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik semasa menggunakan galah untuk memikat burung.
Hasil siasatan polis pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang tanda kematian akibat perbuatan jenayah.
Pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian menemukan sebatang galah diubah suai yang dipercayai digunakan mangsa untuk memikat burung dan masih tersangkut pada kabel elektrik bervoltan tinggi.
Isteri mangsa memaklumkan suaminya keluar dari rumah kira-kira 8.30 pagi untuk memikat burung dengan menaiki motosikal.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat. – Bernama