Lebih 170,000 akaun keldai dikenal pasti setakat Julai 2025

KUALA LUMPUR: Sebanyak 173,224 akaun keldai telah berjaya dikenal pasti antara tahun 2022 hingga Julai 2025 berikutan peningkatan kes jenayah penipuan dalam talian yang membimbangkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyatakan kementerian melalui Polis Diraja Malaysia memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan pemantauan akaun keldai melalui kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan, institusi kewangan dan pihak berkepentingan lain.

Beliau menegaskan bahawa matlamat utama adalah untuk memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan dan menghalang aktiviti jenayah daripada berulang serta meningkatkan kesedaran dan keyakinan rakyat untuk bersama dengan pihak berkuasa.

Kementerian berpandangan bahawa belum ada keperluan untuk memperkenalkan insentif khusus kepada pemberi maklumat selain akan terus meneliti dan mengkaji keperluan itu dari semasa ke semasa.

Sebanyak 11,753 aktiviti pencegahan jenayah siber melalui pameran dan ceramah telah direkodkan sehingga 31 Julai lepas dalam usaha menangani isu berkenaan.

Seramai 278 kes jenayah bersenjata telah direkodkan di bawah Seksyen 8A Akta Senjata 1960 bagi tahun 2025 setakat ini yang menunjukkan peningkatan berbanding 161 kes pada tahun 2023.

Daripada jumlah tersebut, 133 kes telah didakwa manakala 73 lagi masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa.

Peningkatan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuhkan undang-undang dan melaksanakan pendakwaan lebih tegas terhadap individu atau kumpulan yang terlibat.

Kementerian Dalam Negeri sedang merangka sebuah Pelan Induk Kawalan Sempadan yang lebih komprehensif melibatkan kerjasama strategik antara semua agensi keselamatan yang beroperasi di sempadan.

Pelan tersebut akan dilaksanakan berdasarkan dua fokus strategik iaitu memperkukuh operasi kawalan keselamatan sempadan negara serta mempertingkatkan kapasiti kawalan sempadan menerusi pembangunan strategik dan latihan bersama agensi terlibat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *