KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan telah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard di sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Siasatan ini berikutan kejadian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah terbabit.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
“Saya mengambil perhatian kemalangan yang melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Fadhlina menegaskan pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital pada masa ini.
“Saya pastikan siasatan dijalankan secara terperinci semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini,” tambahnya.
Beliau menekankan bahawa KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku buli dalam institusi pendidikan.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti kejadian ini melibatkan salah laku buli,” tegas Fadhlina.
Sebagai langkah segera, KPM akan menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Penempatan semula ini akan berkuat kuasa sehingga proses siasatan selesai sepenuhnya.
Fadhlina turut menyampaikan doa agar pelajar terbabit diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian tersebut.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut. – Bernama