JKPK syor gubal akta khas kawal selia penjagaan pendidikan awal kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Dewan Rakyat mengesyorkan penggubalan akta khusus bagi mengawal selia dan membangunkan sektor penjagaan serta pendidikan awal kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun.

Pengerusi jawatankuasa Yeo Bee Yin menyatakan sektor pendidikan awal kanak-kanak masih menghadapi cabaran besar dari segi dasar dan tadbir urus.

Antara isu yang dikenal pasti termasuk ketiadaan dasar menyeluruh, pertindihan fungsi antara pelbagai agensi, ketiadaan akta khusus serta agensi tunggal sebagai penyelaras.

Masalah kekurangan peruntukan tetap juga menjejaskan pelaksanaan program pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan mampan.

Yeo yang juga Ahli Parlimen Puchong mencadangkan tanggungjawab kawal selia dan pembangunan sektor ini diletakkan di bawah satu agensi seperti Early Childhood Development Authority di Singapura.

Jawatankuasa tersebut turut mengesyorkan penubuhan Majlis Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan bagi menyelaras agenda merentasi kementerian.

Penyata mengenai Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Malaysia telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 19 Ogos lepas.

Penyata tersebut merupakan hasil libat urus dengan kementerian, jabatan, universiti, pertubuhan bukan kerajaan serta lawatan kerja ke Singapura. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *