KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu memperoleh perintah reman terhadap seorang ejen hartanah bagi membantu siasatan kes pengemukaan dokumen palsu membabitkan kerja pengubahsuaian rumah.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 50 tahun itu.
Suspek ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki mengemukakan sebut harga yang telah dipinda bagi kerja pengubahsuaian sebuah rumah kepada pemiliknya pada tahun 2022.
Kesalahan tersebut membabitkan amaun sebanyak RM16,000 bagi kerja pengubahsuaian rumah terbabit.
Suspek juga dipercayai menerima wang rasuah daripada pemilik rumah tersebut melalui transaksi pemindahan wang ke akaun peribadinya.
Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan tersebut ketika dihubungi.
Beliau memaklumkan bahawa kes ini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Bernama