KUALA LUMPUR: Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) bukan sahaja menumpukan usaha menarik pelaburan bernilai RM500 bilion, malah juga menyasarkan pewujudan syarikat tempatan berdaya saing berlandaskan visi “Made by Malaysia”.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata menerusi NSS, kerajaan menetapkan pendekatan berbeza untuk syarikat Malaysia memacu inovasi.
“Dahulu kita sebut ‘Made in Malaysia’, tidak kira pemilikan dari mana, asalkan pelabur asing beroperasi di sini…tetapi strategi kali ini berbeza, kita mahu syarikat-syarikat Malaysia sendiri muncul dan memacu ‘Made by Malaysia’.
“Ini bermakna kita bukan sahaja hebat dalam proses pembuatan malah juga dalam proses inovasi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Rita Sarimah Patrick Insol pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Kerajaan menyasar untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 10 syarikat Malaysia dalam industri semikonduktor mencatatkan pendapatan tahunan antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion.
Lebih 100 syarikat tempatan dijangka menjana perolehan sekitar RM1 bilion menerusi pelaksanaan strategi ini.
Petunjuk prestasi utama (KPI) akan berpaksikan kepada pembinaan ekosistem dan kemunculan syarikat tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.
NSS yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei, 2024 juga menyasar untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) semikonduktor global.
“Strategi itu memberi tumpuan kepada reka bentuk litar bersepadu, pembuatan peralatan semikonduktor, pembungkusan termaju serta proses hadapan.
Antara sasaran lain ialah melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera berkemahiran tinggi serta memperuntukkan RM25 bilion bagi menyokong pelaksanaan strategi ini.
Kerajaan juga memastikan Malaysia kekal sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global meskipun berdepan cabaran geopolitik dan ekonomi dunia. – Bernama