Selangor luaskan baucar buku RM200 kepada pelajar Tingkatan Enam

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memperluaskan pemberian baucar buku Kita Selangor bernilai RM200 kepada pelajar Tingkatan Enam dengan agihan dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu lanjutan daripada pemberian baucar buku tersebut yang sebelum ini hanya dikhususkan kepada mahasiswa kelahiran Selangor yang melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Dari segi bilangan pelajar yang akan mendapat manfaat, kita akan buat kiraan mengikut data bersama pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

“Permintaan memang banyak tetapi sebelum ini kita bagi khas kepada pelajar berasal dari Selangor melalui Persatuan Mahasiwa Selangor.

“Untuk Tingkatan Enam ini, insya-Allah kita akan agih sebelum akhir tahun atau paling awal pada Oktober ini,“ katanya.

Untuk Selangor, sejumlah RM894,750 BAP diperuntukkan bagi diagihkan kepada 5,965 pelajar Tingkatan Enam melibatkan Kolej Tingkatan Enam dan Pusat Tingkatan Enam seluruh negeri.

Amirudin berkata dengan peluasan pemberian baucer tersebut peruntukan sebanyak RM400,000 yang disediakan bagi inisiatif itu tahun ini dijangka akan bertambah tahun hadapan.

“Pendidikan merupakan satu keutamaan kepada kerajaan negeri dan komitmen tinggi ini akan diterjemahkan dalam bentuk kewangan dalam jumlah tertinggi akan disediakan dalam belanjawan tahun depan,“ katanya.

Beliau berkata langkah itu akan membantu mengurangkan beban kewangan pelajar Tingkatan Enam dalam usaha mereka menambah sumber bacaan tambahan sebagai persediaan melangkah ke alam universiti.

Terdahulu, pada majlis itu Amirudin turut menyerahkan sumbangan RM1,000 kepada 15 pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 bagi Selangor. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *