KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya menumpaskan pelbagai aktiviti jenayah termasuk penyimpanan dan penjualan rokok serta minuman keras tanpa cukai di samping penyeludupan barang kawalan.
Nilai rampasan keseluruhan operasi tersebut mencecah RM5.9 juta melalui Op Taring dari 19 hingga 23 Ogos lepas.
Komander Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata operasi pertama pada 19 Ogos di sebuah rumah di Kuching berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.
“Serbuan tersebut berjaya merampas 12,900 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM4.64 juta,“ katanya.
Beliau berkata serbuan kedua pada 21 Ogos pula menyaksikan penahanan empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 22 hingga 40 tahun di tiga premis berasingan di Kuching.
Rampasan termasuk 1,900 karton rokok serta 6,183 liter minuman keras bernilai RM1 juta.
“Pada 20 Ogos, pasukan Infantri Batalion 11 PGA menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di Lundu kerana disyaki menyeludup 1,500 kilogram (kg) beras menggunakan jalan tidak diwartakan tanpa dokumen sah.
Nilai rampasan beras tersebut mencecah RM122,000.
“Pada 23 Ogos pula satu lagi operasi di Sri Aman oleh Batalion 10 PGA berjaya menahan sepasang suami isteri tempatan berusia 57 dan 44 tahun.
Rampasan termasuk 150 kg baja bersubsidi serta sebuah Toyota Hilux dengan nilai RM121,380.
Pada hari yang sama, Lim berkata pasukan Infantri Batalion 23 PGA menahan empat lelaki warga Indonesia berusia 36 hingga 45 tahun di dua pondok ladang kelapa sawit di Serian.
Mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Dalam operasi tersebut, PGA turut merampas tiga motosikal termasuk satu yang dilaporkan hilang selain lima telefon bimbit dengan nilai rampasan RM14,500,” katanya. – Bernama