Pengurus stesen minyak rugi RM91,167 tertipu tawaran kerja sambilan

JOHOR BAHRU: Seorang pengurus stesen minyak mengalami kerugian sebanyak RM91,167 selepas diperdaya oleh tawaran kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud pada hujung Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat menyatakan mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun yang pada mulanya berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi sosial “Tinder”.

Beliau berkata mangsa kemudiannya ditawarkan pekerjaan sambilan dalam talian menerusi laman sesawang yang dikenali sebagai Inventorysources.site.

“Siasatan awal mendapati mangsa diperdaya sehingga membuat sembilan kali pemindahan wang dari 25 hingga 29 Julai lepas ke beberapa akaun bank milik individu dan syarikat.

“Selepas bayaran dibuat, akaun mangsa dimaklumkan kononnya telah dibekukan dan suspek selepas itu gagal dihubungi,“ katanya.

Mangsa yang menyedari dirinya telah ditipu kemudiannya membuat laporan polis semalam.

Raub berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk semakan ke atas akaun bank yang terlibat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *