PUTRAJAYA: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasar untuk mencapai jualan lebih RM250 juta sepanjang Pameran MATTA Kebangsaan Ke-57.
Sasaran ini didorong oleh Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) akan datang dan lonjakan permintaan pengembaraan dalam ASEAN.
Presiden MATTA Nigel Wong berkata jumlah itu secara tradisinya menjadi penanda aras bagi setiap pameran.
Namun, edisi September itu dijangka terus menyaksikan momentum yang lebih meningkat, dirangsang oleh kempen kerajaan bagi TMM2026 dan minat serantau yang lebih kukuh.
“Kami lebih optimis kali ini kerana peralihan semangat bagi pengembaraan ASEAN dan peningkatan minat dalam pakej domestik.
“Kebanyakan pempamer turut memperkenalkan produk baharu dan creatif yang dipercayai akan memacu perbelanjaan, terutama dalam segmen pengembaraan tempatan,” katanya.
Malaysia Aviation Group (MAG) akan kembali tampil sebagai syarikat penerbangan rasmi dan penaja utama Pameran MATTA kali ini.
Pameran ini akan berlangsung bermula 5 hingga 7 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Ketua Pengawai Komersial MAG Dersenish Aresandiran berkata perkongsian itu akan membolehkan kumpulan syarikat penerbangan itu mengukuhkan penguasaannya dalam pasaran dalam dan luar negara.
Perkongsian ini juga menyokong agenda pelancongan negara yang lebih luas.
“Pengembaraan luar negara terus menunjukkan pertumbuhan kukuh dua angka, dan permintaan dalam negara turut meningkat.
“Menerusi pameran ini, kami menawarkan pelbagai pakej dan pilihan yang lebih luas, dengan Malaysia Airline menyediakan bukan sahaja tambang yang menarik tetapi juga keselesaan seperti elaun bagasi 20 kilogram walaupun bagi tambang murah,” katanya.
Dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, MAG memberi tumpuan kepada destinasi serantau seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.
Tumpuan ini diberikan memandangkan permintaan terhadap destinasi serantau semakin meningkat.
“Kami akan berkongsi lebih banyak perkembangan yang menarik pada sidang media 5 September ini.
“Setakat ini, apa yang boleh saya katakan kami komited untuk meningkatkan keselesaan, fleksibiliti dan nilai perjalanan, sambil menghubungkan orang ramai dengan lebih lancar di seluruh rantau ini,” katanya.
Dersenish berkata MAG bukan sahaja akan menyediakan tawaran eksklusif tetapi juga berkongsi visi masa depannya.
Visi masa depan tersebut melibatkan pengalaman penerbangan premium dan digital yang dikuasakan kecerdasan buatan.
“Kami teruja untuk mengalu-alukan pengunjung ke Pameran MATTA dengan Malaysian Hospitality kami yang sudah dikenali, sambil menyokong TMM2026 dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk meneroka, berhubung dan merasai pengalaman di Malaysia,” katanya.
Ruang pameran MAG akan menampilkan konsep pengembaraan futuristik yang mencerminkan cita-cita untuk menjadi antara 10 syarikat penerbangan terbaik dunia menjelang 2030. – Bernama