Malaysia raih tiga gangsa di Kejohanan Boling Remaja Asia

PETALING JAYA: Skuad remaja negara terpaksa berpuas hati dengan tiga pingat gangsa pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-22 di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid.

Malaysia membawa pulang gangsa menerusi acara berpasukan lelaki, berpasukan wanita serta acara All-Events lelaki.

Dalam acara berpasukan lelaki, kuartet negara dibarisi Muhammad Danial Abu Samah, Wan Muhammad Zarif Ikram, Ethan Damien Goh dan Muhammad Aiman Syahin yang mendahului selepas blok pertama semalam, sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang Kuwait dan Korea Selatan.

Kuwait mengumpul 5,194 jatuhan pin, Korea Selatan 5,187 manakala Malaysia 5,172.

Muhammad Aiman turut meraih gangsa dalam acara All-Events lelaki dengan catatan 4,063 jatuhan pin selepas sempat mendahului saingan, namun akur di belakang Bae Jung Hung dari Korea Selatan (4,071) dan Hassan Qasem dari Kuwait yang merangkul emas dengan 4,123.

Pingat gangsa ketiga Malaysia hadir menerusi acara berpasukan wanita apabila gandingan Qurratu’ain Izdihar Mohd Pozi, Nurul Anis Nabila, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Adania Mohd Redzwan mengumpul 4,796 jatuhan pin untuk menamatkan saingan di belakang Korea Selatan (4,988) dan juara, Singapura (5,017).

Ketua jurulatih remaja lelaki negara Alex Liew mengakui kecewa kerana gagal mencapai sasaran emas, namun tetap berpuas hati dengan persembahan ditampilkan pemainnya.

“Sasaran saya sememangnya emas tetapi kita tidak berjaya kali ini. Apa pun saya tetap gembira kerana Singapura berada hampir di tempat keempat dan kita berjaya mencuri gangsa pada balingan terakhir,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Aiman yang juga hampa gagal menghadiahkan emas buat kem negara, tekad bangkit dalam acara Masters yang bermula esok.

“Mungkin saya terlalu yakin sebab berada di depan. Ini pengajaran dan pengalaman berharga untuk saya lebih matang. Untuk Masters esok, saya akan beri segalanya, sasaran saya pingat emas,” kata atlet berusia 18 tahun itu.

Selain Muhammad Aiman, Muhammad Danial turut melayakkan diri ke acara Masters.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini meraih emas menerusi gandingan Muhammad Aiman dan Ethan Damien dalam acara doubles lelaki, manakala Qurratu’ain menyumbang gangsa dalam acara individu wanita. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *